KUALA LUMPUR – Cuaca kering di kawasan pengeluaran limau mandarin di China menyebabkan jumlah eksport ke Malaysia berkurangan antara 20 hingga 30 peratus.
China Press melaporkan, limau mandarin sudah terdapat di pasaran bermula akhir Disember, tetapi limau lokam bersaiz besar mengalami kenaikan harga sebanyak 20 peratus, manakala limau bersaiz kecil mengalami kenaikan harga 10 peratus.
Cuaca kering di kawasan pengeluaran menyebabkan limau bersaiz lebih kecil selain pengeluaran yang berkurangan pada tahun ini, tetapi rasanya tetap manis.
Menurut pemborong, limau lokam merupakan jenis limau mandarin yang paling mendapat sambutan di Malaysia.
Katanya, kebanyakan limau mandarin adalah berasal China.
Selain dari China, Malaysia juga mengimport limau mandarin dari Korea Selatan dan Taiwan, malahan pernah mengimport dari Pakistan.
Walaupun harga limau mandarin mengalami kenaikan, China Press melaporkan, cuaca baik menyebabkan lambakan sayur di Malaysia, sehingga berlaku penurunan harga.
Harga sayur berdaun mengalami penurunan lebih ketara dengan harga borong kangkung menurun dari RM5.50 sekilogram kepada RM2.30 sekilogram.
Selain itu, harga timun juga menurun daripada RM4 kepada kurang daripada RM2 sekilogram. – MalaysiaGazette