KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir kerana gagal hadir sesi pendakwaan yang sepatutnya dijalankan hari ini.
Waran tangkap dikeluarkan Hakim Azman Mustapha selepas membenarkan permohonan Pendakwa Raya Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi.
Dalam prosiding hari ini, Muhammad Najmi memaklumkan tertuduh telah diberi notis hadir ke mahkamah, namun tidak berbuat demikian meskipun setelah menunggu sehingga jam 4 petang.
“Terdapat bukti penyampaian notis untuk hadir dengan tanda tangan penerima iaitu pengerusi pertubuhan tersebut.
“Usaha-usaha telah dilakukan pegawai penyiasat untuk menghubungi pengerusi pertubuhan itu untuk hadir bagi menjawab pertuduhan, namun begitu pihak pendakwaan percaya terdapat keengganan dan pengabaian daripada pengerusi pertubuhan ini untuk hadir pada hari ini.
“Pihak pendakwaan memohon untuk satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Pengerusi PPNP untuk menjawab pertuduhan yang akan dijalankan,” katanya.
Justeru, hakim membenarkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Zuhairi dan menetapkan 6 Februari depan bagi sesi pendakwaan.
Pada 20 Jun 2024, Zuhairi menyangkal tuduhan dan laporan sebuah portal berita yang mendakwa dua pertubuhan itu ditahan UPNP atas tuduhan meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri.
Beliau berkata, laporan portal berita itu tidak mempunyai pengesahan rasmi dan dibuat berdasarkan laporan serta andaian sebelah pihak. – MalaysiaGazette