KUANTAN – Kerajaan Pahang mengambil inisiatif untuk menaja makan tengah hari kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini, kecuali mereka yang tinggal di asrama.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif yang bermula hari ini juga diberikan kepada calon Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Menurut beliau, langkah itu diambil sebagai tanda sokongan kepada anak-anak Pahang yang sedang berjuang demi masa depan mereka.
”Selamat maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang akan menduduki ujian bertulis bermula 2 Januari hingga 6 Februari 2025.
“Saya turut dimaklumkan bahawa YB (Yang Berhormat) Menteri Pendidikan amat menghargai inisiatif ini dan turut menyampaikan ucapan terima kasih serta salam kepada kita semua di negeri ini.
”Marilah kita semua berdoa semoga semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan tenang serta diberi kesihatan yang baik, usaha dan doa adalah kunci kejayaan anak-anak semua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berharap semoga calon semua diberi ketenangan, kekuatan, dan kebijaksanaan sepanjang menghadapi peperiksaan itu.
Difahamkan tajaan makananan tengah hari diberikan kepada lebih 15,000 calon peperiksaan SPM yang berulang dari rumah dan menduduki kertas pada sidang pagi dan petang.
Tajaan makanan tengahari yang dinamakan Juadah Makmur itu diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
82 calon SPM dapat kupon makan – Syed Ibrahim