PUTRAJAYA – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hadir pada hari pertama mencecah 97 peratus, setakat jam 10 pagi tadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berharap jumlah tersebut akan meningkat demi memastikan setiap calon yang telah berdaftar mengambil peperiksaan tersebut.
“(Jumlah) kehadiran baik ini, ia masih dalam proses kemas kini ada yang belum belum sahkan kehadiran. Kita harap kehadiran ini dapar ditingkatkan untuk pastikan semua anak-anak (calon) mengambil SPM,” katanya ketika sidang media pengoperasian SPM 2024, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sedang mengesan kira-kira 10,000 calon yang masih belum mengesahkan kehadiran, setakat jam 10 pagi tadi.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan pagi ini mengesahkan seramai 402,956 calon SPM pada tahun ini.
Beliau turut mengesahkan seramai 44,968 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
Sementara itu Fadhlina berkata, kementerian itu pada tahun ini meneruskan inisiatif tahun lalu dengan menggunakan sebilangan pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan sepanjang peperiksaan tersebut berlangsung.
“Ini adalah inisiatif untuk mengurangkan beban guru di samping memberi peluang kepada petugas-petugas sukarelawan untuk terlibat dalam peperiksaan SPM,” katanya lagi.
Jelas Fadhlina, KPM dalam masa yang sama bersedia untuk mengaktifkan semula Op Payung sekiranya berlaku banjir khususnya di negeri-negeri yang telah dikenal pasti.
“Sekiranya berlaku banjir dan kejadian tidak diingini saya tegaskan dan ulang apa pun yang berlaku persiapan KPM bersiap daripada awal,” tambah beliau. -MalaysiaGazette