KUALA LUMPUR – Stesen LRT KLCC yang ditutup sementara susulan kebakaran kecil pada panel kotak suis pam kini dibuka semula kepada pengguna pada jam 5.55 petang.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi sejak jam 4.50 petang tadi mendapati ramai pengguna keliru dengan penutupan stesen tersebut, khususnya mereka yang bergantung pada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk perjalanan waktu puncak.
Polis bantuan di lokasi membantu menenangkan orang ramai dan mengarahkan mereka menggunakan bas perantara percuma atau menuju ke stesen LRT Ampang Park.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 4.15 petang dipadamkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) KLCC sebelum ketibaan anggota bomba.
Kebakaran dikatakan berpunca daripada suis terbakar, dan keadaanberjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang mangsa.
Kini, situasi di stesen kembali seperti biasa.
Kecekapan pihak berkuasa dan RapidKL dalam menangani insiden itu memastikan keselamatan pengguna terjamin. – MalaysiaGazette