Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim didengar selama empat hari berturut-turut bermula 26 Oktober tahun depan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menjadualkan semula tarikh perbicaraan baharu pada 26 hingga 29 Oktober 2026 selepas melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 20 dan 23 Januari serta 12 dan 13 Februari ini.

Peguam Datuk S.N Nair yang mewakili Anwar memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan itu, dilapangkan berikutan anak guamnya mempunyai urusan rasmi di luar negara.

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan baharu manakala plaintif (Anwar) akan menjadi saksi tunggal dalam perbicaraan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan hakim berkenaan.

Sementara itu, peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili Awang Solahuddin mengesahkan tarikh baharu perbicaraan itu dan memaklumkan pihak defendan akan mengemukakan tiga saksi.

Pada 3 Mac 2023, Anwar menfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah yang dibuat oleh defendan di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari tahun sama.

Menurut Anwar, kenyataan tersebut yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.

Anwar mendakwa, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam dan menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Ujarnya, beliau didakwa mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di negara untuk mencapai agenda politik peribadi.

Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, Anwar menuntut antaranya ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here