Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.

Bahagian Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, daripada empat syarikat itu, Tencent yang mengendalikan aplikasi WeChat telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).

Ia, katanya, menjadikan Tencent sebagai penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Tambahnya, selepas WeChat, ByteDance (TikTok) juga telah berjaya memperoleh lesen mereka.

“Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

“Manakala Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, platform media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google yang mengendalikan YouTube belum menghantar permohonan kepada SKMM.

Jelasnya, menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan lapan juta pengguna seperti yang disyaratkan di bawah undang-undang pelesenan.

“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X.

“Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, SKMM telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

Dalam masa sama, katanya, SKMM akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, SKMM memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.

“Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here