SEPANG – Kerajaan memberi jaminan penganjuran Karnival Haji, Umrah & Pelancongan Kali Ke-3 Pengelola Jemaah Haji 1446H/2025M (Karnival PJH) bebas daripada sindiket penipuan haji dan umrah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kesemua pengelola jemaah haji (PJH) telah melalui saringan ketat sebelum diberikan lesen untuk membawa jemaah haji dan umrah secara sah.
“Saya setuju sangat PJH bebas scam (penipuan) sebab 37 PJH ini telah melalui satu proses agak ketat, kewangan mereka dilihat, kalau jadi apa-apa, pengalaman mereka mengendalikan jemaah haji sebelum ini, ini semua diambil kira oleh Tabung Haji (TH).
“Mereka yang tiada lesen ini, kita tak boleh nak jamin, kita tak tahu kapasiti, scam atau mungkin mereka tak scam tapi mereka tiada kapasiti.
“Dia janji macam-macam, tiba-tiba sampai ke sana, visa tak ada, janji boleh dapat visa, hujung-hujung tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PJH di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA), Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Karnival PJH bermula 3 hingga 5 Januari itu menawarkan pakej haji ekonomi yang berharga di bawah RM55,000 untuk memberi pilihan kepada bakal jemaah haji mendapatkan perkhidmatan pakej haji.
Menurut Mohd Na’im, jaminan itu boleh diberikan kerana urusan jemaah haji di negara ini termaktub di bawah Akta Tabung Haji dan hanya TH sahaja yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan visa-visa haji ini.
“Untuk membolehkan urusan haji dilaksanakan dengan baik, TH lantik PJH yang diberikan lesen dan telah melalui proses yang ketat.
“Betul ia akan dapat mengelakkan bakal-bakal jemaah haji daripada ditipu oleh syarikat-syarikat yang tidak diberikan lesen dan sebenarnya hendak meraih keuntungan atas kesusahan orang lain,” katanya
Selain itu, katanya, mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan dan lesen daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.
“Semua bakal haji perlu memastikan pakej haji yang ingin diambil daripada PJH yang telah dilesenkan oleh TH termasuk bakal haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah.
“Ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan supaya semua Jemaah Haji Malaysia mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette