KUALA LUMPUR – Kematian empat daripada lima ekor kucing yang bangkainya ditemukan di sekitar kampus Universiti Malaya (UM) disahkan bukan berpunca daripada perbuatan khianat oleh manusia.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, hasil bedah siasat dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati punca kematian disebabkan gigitan haiwan dipercayai anjing liar.
“Hasil siasatan dan bedah siasat oleh DVS menunjukkan dua bangkai kucing yang ditemui pada 17 Disember lalu, kematiannya berpunca daripada gigitan haiwan dipercayai serangan anjing, tiada unsur penderaan.
“Bedah siasat untuk dua bangkai kucing yang ditemui pada 20 dan 25 Disember lalu juga tidak menemukan sebarang unsur penderaan manusia pada kedua-dua bangkai kucing terbabit.
“Bedah siasat mendapati punca kematian dua kucing itu akibat kecederaan parah pada bahagian dada yang menyebabkan luka serta pendarahan di jantung seterusnya mengakibatkan kekurangan darah serta kegagalan sistem peredaran darah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sidang media turut dihadiri Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohd Razli Abdul Razak; Pengarah Makmal Veterinar Zon Tengah DVS, Dr Mohd Shafarin Shamsuddin dan Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan DVS, Dr Marzuna Md Yunus.
Selain itu, ia juga dihadiri Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Razali Mohd Idrus.
Tambah Azry Kamar, kesan kecederaan pada bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu dikesan tiga kaki yang kesemuanya adalah kesan koyak tidak sekata, tulang kaki patah tidak sekata dan bukan berpunca dari sebarang objek tajam.
“Manakala bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember lalu mengalami patah tulang rusuk kiri selain kesan koyakan pada jantung yang selari berpunca dari tusukan rusuk yang patah dan terdapat tiga luka koyakan yang berbeza pada bahagian perut.
“Setakat ini,sebanyak 11 rakaman percakapan sudah kita ambil daripada kalangan pensyarah, penuntut, polis bantuan, aktivis haiwan dan doktor veterinar,” jelasnya.
Mengulas mengenai kes kelima, pihaknya telah menyerahkan bangkai kucing itu kepada JPV dan proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Kita sudah merakam percakapan tiga individu terdiri daripada pengadu, rakan pengadu dan kakitangan keselamatan di universiti terbabit dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan selain siasatan oleh JPV mengikut Akta Kebajikan Haiwan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai rakaman kamera litar tertutup berhubung kejadian itu, Azry Kamar berkata, buat masa ini tiada rakaman menunjukkan insiden berkenaan.
“Rakaman CCTV yang ada hanyalah rakaman yang menunjukkan kehadiran sekumpulan anjing liar antara empat hingga lima ekor berhampiran tempat kejadian.
“Sementara itu mengenai kehadiran anjing liar di kampus UM, pihak polis serta DVS sedang dalam perbincangan dengan pihak universiti untuk sebarang tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap orang ramai.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette