Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan digesa tidak ingkar akan titah terbaharu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan.

Malah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan, kerajaan juga tidak perlu bertindak menyembunyikan apa-apa maklumat termasuklah titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Isu titah adendum ini memerlukan satu closure yang saksama dan tuntas. Ia bukan isu pengampunan baru buat masa ini. Ia isu titah dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang tidak dilaksanakan.

“Selari dengan kenyataan media Istana Negara yang terbaru, permohonan sekali lagi boleh dibuat untuk mendapat pengampunan penuh seperti yang diberikan kepada PMX.

“Terserah kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar mengulas kenyataan rasmi Istana Negara hari ini bahawa permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, bekas menteri itu berkata, kenyataan rasmi Istana Negara berhubung perkara itu amat dialu-alukan dan rakyat jelas menjunjung titah berkenaan.

“Inilah yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tetapi malangnya prosesnya kini menimbulkan banyak tanda tanya berpunca dari sikap pihak kerajaan sendiri.

“Keadilan tidak terlihat disempurnakan dengan baik. Ada sesuatu yang disembunyikan. Itu tidak adil kepada banyak pihak terutama Najib,” katanya lagi.

Istana Negara turut memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here