Ahli kumpulan KRU bergambar selepas hadir pada sidang media GenKRU di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 JANUARI 2024

KUALA LUMPUR – Kumpulan trio bersaudara, KRU terus melakar sejarah industri hiburan tanah air apabila Konsert GenKRU akan ditambah selama tiga hari pada Mei depan.

Sebelum ini, kumpulan rap unggul sejak penubuhannya pada 1992 mencetus fenomena apabila konsert yang dijadualkan pada 3 Mei ini ditambah menjadi dua hari sehari kemudian kerana sambutan hangat.

Ini kerana penjualan tiket untuk konsert hari pertama langsai dalam masa satu jam manakala penjualan hari kedua pula habis dalam masa 45 minit sahaja.

Tanpa mahu mengecewakan peminat yang masih kempunan mendapatkan tiket, penganjur, Icon Entertainment kini tampil menganjurkan sehari lagi Konsert GenKRU pada 10 Mei ini.

Demi memenuhi hajat peminat, penganjur bersama ahli KRU iaitu Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry di Axiata Arena mencipta sejarah baharu yang wajar dibanggakan oleh bintang tempatan apabila kebanyakannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, pertimbangan dibuat cukup berhati-hati dan persetujuan yang diperoleh daripada KRU untuk menambah hari konsert pada Mei depan. 

“Keputusan menambah hari konsert menjadi tiga hari adalah kerana melihat antusias dan permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan peminat selepas ada yang gagal mendapatkan tiket pada hari pertama dan hari kedua.

“Penganjuran hari ketiga iaitu pada 10 Mei ini bukan bersifat opurtunis sebaliknya KRU tidak mahu menghampakan harapan peminat dan KRU juga ingin membuktikan bahawa pemuzik tempatan juga mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap pasaran sendiri.

“Berjaya melakukan konsert berskala besar untuk tiga malam merupakan satu penghormatan untuk artis tempatan kita,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Ahli kumpulan KRU dan Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, bergambar selepas hadir pada sidang media GenKRU di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 JANUARI 2024

Iman turut memaklumkan pemilihan hari konsert ketiga yang tidak dilaksanakan berturut-turut adalah bersangkutan dengan perkara teknikal selain memberi pihak penganjur dan KRU sendiri menyusun semula jadual yang sebelum ini telah diisi dengan agenda lain.

“Kenapa 10 Mei 2025 dan bukan dilakukan selepas konsert hari kedua iaitu 4 Mei adalah kerana jadual atau tarikh itu sesuai serta dipersetujui KRU sendiri,” tambah Iman.

Sementara itu, penganjuran Konsert GenKRU di Axiata Arena yang bakal berlansung pada 3, 4 dan 10 Mei ini menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun.

Tiket untuk boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 dengan  harga bermula dengan kategori dan harga:  reKRUed (RM258),  Canggih (RM358), Relax (RM478), Kaset (RM508), KRUjaan (RM548) dan KRUnisme sebanyak RM588.

Untuk pemegang kad Maybank, pra jualan tiket dibuka pada 7 Januari depan bermula pukul 11 pagi. 

Tiket untuk umum pula akan mula dijual sehari kemudian pada pukul 3 petang. – MalaysiaGazette

Ahli kumpulan KRU bergambar selepas hadir pada sidang media GenKRU di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 JANUARI 2024

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here