KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terharu dengan sokongan luar biasa dalam memberikan solidariti terhadap dirinya.
Anak beliau, Datuk Nazifuddin Najib berkata, perkara itu dimaklumkan bapanya yang turut mengucapkan penghargaan yang mendalam terhadap sokongan tersebut.
“Kesungguhan ini mencerminkan keutuhan kita sebagai sebuah parti dan kesetiaan kita terhadap perjuangan. Insya-Allah, dengan doa dan usaha bersama, kita akan melihat kejayaan yang diredhai.
“Mohon teruskan semangat ini dan sahkan kehadiran sebaik mungkin bagi penyelarasan yang lebih lancar.
“Terima kasih sekali lagi atas komitmen anda semua. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita,” kata Ketua Bahagian UMNO Langkawi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Nizar memberitahu Najib bahawa segala persiapan untuk solidariti tersebut telah digerakkan termasuk penyediaan bas, kereta dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.
Sebelum ini, penganjuran Himpunan Solidariti yang akan diadakan pada Isnin ini di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan kepada Najib tidak melibatkan parti lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu bentuk sokongan dan setia kawan ahli terhadap Najib yang juga bekas presiden parti kerana jasa besar beliau selama ini.
Tambahnya, jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.
Himpunan terbabit dilaporkan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap bekas pemimpin partinya.
Surat arahan daripada Pas turut tular yang menggalakkan ahli parti itu menyertai himpunan berkenaan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah. – MalaysiaGazette