KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu menggesa kerajaan menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri yang mengaitkan penglibatan pegawai tertinggi kerajaan dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.
Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang berkata, Azilah turut menamakan pegawai tinggi kerajaan yang mengarahkan operasi sulit untuk membunuh dan melupuskan mayat mendiang Altantuya.
Ujar beliau, dakwaan itu terkandung dalam afidavit yang diikrarkan oleh bekas pegawai polis itu dalam permohonan semakan bagi mengetepikan hukuman mati terhadapnya yang didengar pada 10 Oktober lalu.
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan dan menggantikan hukuman gantung dengan penjara maksimum 40 tahun dan 12 kali sebatan.
Menurut Sangeet, afidavit tersebut diterima sebagai rekod mahkamah tanpa bantahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Impak tuduhan ini sangat serius dan secara langsung mencabar integriti institusi awam negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Sangeet berkata, sekiranya tuduhan itu terbukti benar, ia
menunjukkan eksploitasi institusi negara untuk kepentingan agenda peribadi oleh individu berpengaruh bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat tetapi juga merosakkan reputasi negara.
Menurutnya, sebarang persepsi mengenai kegagalan bertindak atau cubaan menyembunyikan kebenaran akan mencemarkan kredibiliti pentadbiran dan reputasi negara pada mata rakyat serta komuniti antarabangsa.
“Kerajaan tidak mampu dilihat berkompromi atau terlibat dalam usaha menutup skandal sebesar ini,” ujar Sangeet.
Katanya, walaupun tuduhan itu amat serius dan surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sejak Oktober lalu dan disalinkan kepada Perdana Menteri dan AGC namun masih tiada maklum balas atau tindakan yang nyata daripada kementerian.
“Soalnya, berapa lama lagi pihak-pihak yang terkesan harus menunggu sebelum tindakan sebenar diambil? Sampai bila kerajaan ingin mendiamkan diri sementara reputasi negara terus tercalar?” soal Sangeet.
Dalam kenyataan itu, peguam berkenaan turut mahu kerajaan memberi penjelasan mengenai usaha terkini memastikan kepulangan bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dari Australia untuk menghadapi tindakan undang-undang.
Sirul masih berada di Australia selepas dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney pada 2023 atas kesalahan berada di negara itu melebihi tempoh masa yang ditetapkan.
Ujar Sangeet, ‘skandal Altantuya’ sekian lama mencemarkan nama baik negara ini dan keengganan menjalankan siasatan menimbulkan persoalan besar tentang komitmen Kerajaan Madani terhadap ketelusan dan akauntabiliti. – MalaysiaGazette