Gambar hiasan Pulau Perhentian

KUALA LUMPUR- Pulau Perhentian muncul sebagai destinasi baharu di Malaysia yang paling pesat menarik perhatian pelancong antarabangsa, demikian menurut Senarai Horizon Baharu di platform pelancongan digital, Agoda.

Katanya, kemunculan Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi baharu yang semakin menarik minat pelawat antarabangsa mencerminkan peningkatan daya tarikan pantai-pantai yang indah di Malaysia.

Menduduki tempat ketiga dalam senarai destinasi paling popular untuk “slow travel” di Asia oleh Agoda pada tahun ini, Pulau Perhentian merupakan antara destinasi yang mencatatkan purata tempoh penginapan paling panjang dalam kalangan pelancong.

“Ia menjadi tumpuan pencinta pantai dan juga penyelam kerana lautnya yang biru, ekosistem marin yang kaya, dan usaha pemuliharaan terumbu karang di pulau tersebut. Dengan adanya perkhidmatan penerbangan pesawat laut peribadi, pulau ini kini juga lebih mudah untuk dikunjungi,” kata Agoda dalam satu kenyataan hari ini.

Senarai ’Horizon Baharu’ itu turut menyenaraikan Shah Alam sebagai destinasi domestik yang mencatatkan lonjakan populariti tertinggi bagi pelancong Malaysia.

Sementara itu, Pulau Batam di Indonesia meraih tempat pertama sebagai destinasi antarabangsa yang paling diminati oleh warga Malaysia yang melancong ke luar negara.

Senarai ‘Horizon Baru’ Agoda yang diterbitkan setiap tahun, membandingkan kedudukan tempahan penginapan dari dua tahun sebelumnya untuk mengenal pasti destinasi domestik dan antarabangsa yang mencatat lonjakan populariti tertinggi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here