MELAKA – “Saya merayu agar permohonan mendapatkan Mykad kami enam beradik sejak empat tahun lalu dipermudahkan tambahan pula kami baru kehilangan ibu saudara yang menjadi satu-satunya tempat bergantung selepas kematian ibu bapa”.
Itu harapan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong, Pantai Kundor di sini, Nul Aziza Rosnani, 18, yang menjadi tempat lima adiknya masih bersekolah berusia antara 17 dan 11 tahun untuk bergantung harap.
Selepas kematian ibunya, warganegara Filipina Nila Nasir pada 2016, enam beradik berkenaan, Ahmad Baharom, 17, Azrul, 16, Khalid, 15, Maulidin, 13, dan Siti Khadijah, 11, dijaga Rosani Saman sebelum dia pula meninggal dunia pada 2021.
Sejak itu, mereka dijaga ibu saudaranya Hajirah Hiarun, 51, namun hidup enam beradik itu sekali lagi berdepan ujian apabila wanita berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam tidur pada Rabu lalu.
“Walaupun masih bersedih saya perlu kuat demi adik-adik dan berazam mahu mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru bermula semalam.
“Namun apa yang lebih membimbangkan saya adalah mengenai masa depan kami apabila sehingga kini masih belum memiliki kad pengenalan diri (MyKad) dan hanya berbekalkan sijil kelahiran berstatus bukan warganegara untuk urusan rasmi,” katanya.
Remaja itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi di rumah keluarganya itu di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling hari ini.
Mengulas lanjut, Nul Aziza berkata, permohonan Mykad mereka enam beradik pernah dilakukan wakil rakyat sebelum ini sejak tahun 2021 namun masih menerima maklum balas positif sehingga ke hari ini.
Sementara itu, Kalsom berkata, kerajaan negeri memberi jaminan untuk membantu kesemua enam adik-beradik yatim piatu itu untuk memiliki Mykad bagi memastikan mereka mendapatkan hak sama rata seperti warganegara Malaysia.
“Ini juga dapat memudahkan bantuan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang telah disalurkan sebelum ini diberikan terus kepada mereka.
“Saya juga berterima kasih dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang begitu prihatin terhadap nasib kanak-kanak ini yang mana saya dimaklumkan mereka juga tidak mahu berpisah walaupun ditawarkan untuk tinggal di asrama JKM,” katanya. – MalaysiaGazette