Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu badan induk itu bagi penggal 2025-2029 yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), berkata, sebagai individu yang mencintai sukan, beliau sememangnya memasang impian untuk menerajui badan induk sukan nombor satu negara itu.

“FAM sebuah badan induk yang besar, kalau ramai masuk (bertanding) menarik juga. Sehari sebelum tarikh tutup pencalonan mungkin saya akan hantar pencalonan. Kalau ada peluang saya bersedia,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Megat berkata sekiranya dipilih, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah menyemak kedudukan kewangan FAM.

“Saya akan membentangkan kedudukan akaun persatuan di hadapan ahli gabungan, kita akan sama-sama melihat apa yang menjadi liabiliti, berapa wang yang ada, ke mana pergi (saluran) wang.

“Kita akan berbincang terutamanya persatuan yang nazak, apa anda mahu, melihat mana ketirisan agar dana dikembali semula kepada ahli gabungan,” katanya memetik laporan BH Online.

Penyandang jawatan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini sudah menyuarakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan pada kongres pemilihan bulan depan.

Mengikut statut FAM, mana-mana individu boleh bertanding merebut jawatan dengan syarat mereka mendapat pencalonan yang mencukupi daripada ahli gabungan.

Bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan manakala timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan diikuti naib presiden (empat pencalonan) dan Exco (dua pencalonan).

Beberapa nama sebelum ini disebut-sebut sebagai calon bagi menggantikan Hamidin antaranya Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail.

Dalam pada itu, Megat sedia bekerja secara sukarela biarpun ada laporan mendakwa Hamidin menerima beberapa faedah yang sudah ditetapkan sepanjang menjalankan tugas sebagai Presiden FAM ketika ini.

“Saya tidak akan ambil sebarang gaji. Malah saya juga bersedia bekerjasama dengan sesiapa sekali pun dan tidak terikat dengan mana-mana pihak ketika ini. Semua pekerjaan harus dilakukan dengan telus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here