KUALA LUMPUR – Dua individu yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown 2024, telah sedarkan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu dalam kenyataan ringkas ketika dihubungi hari ini.
“Bagaimanapun, keadaan kedua-duanya masih lemah dan setakat ini, polis telah merakam percakapan 15 individu.
“Siasatan juga masih dijalankan termasuk mengenal pasti individu yang dikatakan menjual pil ekstasi di konsert itu,” katanya.
Pada 1 Januari lalu, polis telah menerima laporan berhubung kematian empat individu yang menghadiri konsert itu sempena Tahun Baru 2025.
Hussein memaklumkan, laporan itu dibuat oleh PPUM membabitkan empat mangsa termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Beliau juga mengesahkan, terdapat tiga lagi mangsa turut dimasukkan ke hospital dan dipercayai semuanya mengambil ‘ekstasi’ ketika berada di konsert berkenaan. – MalaysiaGazette