Salah sebuah bot yang membawa PATI dari Myanmar di perairan negara lewat petang semalam. foto Maritim Malaysia

ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menemukan dua bot yang membawa hampir 300 pendatang warga Myanmar di kawasan dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi, semalam.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, semasa penemuan bot berkenaan kira-kira pukul 4.16 petang, kesemua warga asing berada dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

“Dianggarkan hampir 300 warga asing berada di dalam bot terbabit dan pihak APMM telah memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih, sebelum dua bot itu diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran.

“Kami juga berkerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot-bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata APMM mengingatkan komuniti maritim untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi ditalian 04-9662750 atau 011-58925868.

Semalam, Mohd Rosli berkata pihaknya telah mengaktifkan Operasi GUARD dan menggandakan rondaan bagi mengesan baki pendatang tanpa izin dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.

Operasi itu susulan daripada penahanan 196 warga Myanmar di kawasan Pantai Teluk Yu, Langkawi pada 3.25 pagi semalam, selepas bot dinaiki mereka terkandas di perairan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here