Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin depan untuk menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kehadirannya bagi mengikuti perbicaraan berkaitan titah adendum melibatkan hukuman tahanan rumah terhadap Najib adalah atas kapasiti individu.

Beliau menegaskan, sokongan terhadap Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu masih sama seperti sebelum ini.

“Sebagai ahli parti, kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati keputusan parti untuk tidak berhimpun.

“Bagaimanapun, saya tetap akan hadir atas kapasiti individu untuk memberikan sokongan kepada Najib seperti sebelumnya,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum.

Beberapa pihak termasuk UMNO sebelum ini mahu menganjurkan himpunan solidariti terhadap Najib.

Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam berkata, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin.

UMNO akur kepada saranan supaya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan berkaitan pengampunan banduan.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, perlu dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara berkata, kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here