Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh digelar sebagai anak jantan berikutan keberanian berterus terang mengisytihar untuk berjumpa Ahmad Fadhli Shaari pada ‘6/1′ atau pada 6 Januari iaitu Isnin depan.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, Dr. Muhammad Akmal tidak seperti pemimpin UMNO lain yang berundur untuk menghadiri himpunan tersebut selepas DAP mengeluarkan bantah.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berjanji untuk menjelaskan kiasan yang dikongsi beliau dalam media sosial sebelum ini jika bertemu dengan Dr. Muhammad Akmal pada Isnin ini.

“Tahniah Pemuda UMNO yang secara terang mengisytiharkan ‘akan jumpa 6/1’ ini.

“Bermaksud kehadiran 6/1 ini bukan bererti tidak hormat kepada titah Yang di-Pertuan Agong kerana tiada pun maksud halangan dari titah YDPA itu untuk himpunan 6/1. Inilah pemuda anak jantan!

“Jangan jadi macam sesetengah pemimpin anda yang terus undur bila disergah DAP. Jika jumpa, saya jelaskan siapa biawak,” katanya.

Sebelum itu Dr. Muhamad Akmal menggesa Ahmad Fadhli untuk menjelaskan kiasan yang dikongsi pemimpin Pas itu di media sosial.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu, perbuatan melontarkan sindiran bukanlah satu tindakan yang dilakukan oleh seorang lelaki sejati.

Dr. Muhammad Akmal berkata, beliau sanggup bertemu dengan Ahmad Fadhli pada ‘6/1’ untuk mengetahui maksud sindiran yang buat oleh Ketua Penerangan Pas itu.

“Saya minta Yang Berhormat (YB) untuk beritahu secara terus apa maksud kiasan YB ya. Kias-kias ini bukan anak jantan YB. Kalau tak sanggup nak beritahu, kita jumpa 6/1 ini untuk kita tanya YB secara depan-depan ya,” kata Dr. Muhamad Akmal.

Beliau dilaporkan akan menghadiri perbincaraan yang melibatkan  Datuk Seri Najib Razak atas kapasiti individu selepas UMNO membatalkan perhimpunan solidariti terhadap bekas perdana menteri itu berikutan kenyataan Istana Negara dan Ketua Polis Negara.

Sebelum ini Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menghantar kata-kata kiasan membabitkan haiwan seperti ayam dan biawak.

“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.” kias Ahmad Fahdli.

Kiasan itu dikongsi Ahmad Fahdli sejurus Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan pembatalan Himpunan Solidariti bagi menyokong Najib pada prosiding mahkamah yang akan berlangsung di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.-MalaysiaGazette

Dr. Akmal cabar Fadhli jelaskan kiasan ayam, biawak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here