BERKECAMUK perasaan saat mendengar berita kematian beberapa anak muda di sebuah konsert sambutan ambang tahun baharu 2025. Jika dilihat hantaran video-video belia remaja di laman media sosial, seakan-akan tidak percaya konsert sedemikian dapat dianjurkan di Malaysia sendiri. Disangka tragedi yang meragut nyawa enam individu sewaktu konsert “Future Music Festival Asia” pada 10 tahun lalu sudah cukup menjadi pengajaran buat masyarakat. Namun, sangkaan jauh meleset apabila tragedi tersebut membuktikan betapa mudahnya maruah anak bangsa kita dilucutkan begitu sahaja.
Tahun ini, di tempat yang sama dan juga dengan tujuan yang sama untuk bersuka ria menyambut ambang tahun baharu, konsert “Pinkfish” dengan konsep serupa seperti konsert “Future Music Festival Asia” , malangnya meragut empat nyawa dengan dua pengunjung konsert lainmasih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Manakala seorang lagi telah dibenarkan keluar dari hospital. Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada bulan Julai lalu, telah mengeluarkan arahan bagi Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) untuk memberikan senarai penambahbaikan peraturan kebenaran persembahan artis luar negara lantaran insiden biadab yang terjadi ketika konsert kumpulan “The 1975” di “Festival Good Vibes 2023”.
Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) selaku sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berteraskan kekeluargaan bersetuju dengan arahan Menteri Fahmi Fadzil, malah berpendapat sekiranya masalah ini tidak dapat dibendung lagi, kerajaan perlu memuktamadkan suatu undang-undang khas bagi mengawalselia keadaan semasa di sesebuah konsert.
Hal ini bertambah parah apabila siasatan awal polis mendapati empat pengunjung konsert yang meninggal dunia tersebut disyaki terbabit dalam pengambilan pil dadah jenis ecstacy. Seperti diketahui umum, agama dengan tegas telah melarang mana-mana individu mengambil bahan-bahan berbahaya bahkanundang-undang Malaysia sendiri telah meletakkan garis batas yang jelas tentang kesalahan penyalahgunaan dadah.
Bahkan enam orang mangsa yang menyertai konsert “Future Music Festival Asia” dahulu turut terbukti meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. WAFIQ berpandangan adapun kehadiran anggota polis dan Unit Anjing Pengesan di semua pintu masuk, ia masih tidak mencukupi bagi membendung sebarang penglibatan dadah oleh para peserta konsert.
Tambahan, terdapat kajian yang menyatakan pengunjung konsert festival berasaskan tarian adalah berisiko tinggi menggunakan dadah yang telah dicemari. Kadar dadah yang dijumpai di konsert-konsert adalah daripada kadar 11 peratus sehingga 55 peratus yang merupakan suatu kadar yang tinggi.
Tidak dapat dinafikan sesetengah masyarakat kini yang terikut-ikut dan terpengaruh dengan perkara tular mahupun “trending” sehingga yang memakai tudung pun bangga memuat naik video berada di konsert tersebut, atas alasan tidak mahu tampak ketinggalan dan untuk dijadikan kandungan murahan media sosial. Apatah lagi wujud segelintir ibu bapa yang sanggup meninggalkan anak-anak kecil di rumah bagi melayan nafsu sukakan hiburan.
Betapa bejatnya sosial masyarakat Malaysia apabila ada seorang ibu muda yang sanggup memaparkan dirinya memerah susu badan dalam ruangan konsert “Pinkish” lalu menghadiri konsert semata-mata untuk mengejar kepuasan berhibur tanpa batas.
WAFIQ berpendapat rakyat Malaysia perlu bersikap lebih tegas bagi membendung kegiatan sebegini. Setiap individu dan masyarakat mempunyai peranan yang cukup besar dalam menangani isu moraliti yang semakin meruncing.
Bermula daripada keluarga, peranan ibu bapa serta wali amat penting dalam membentuk ahli keluarga selain mengingatkan satu sama lain perkara yang hak dan batil. Pihak kerajaan serta penguatkuasaan tidak seharusnya berkompromi terhadap acara hiburan berlebihan.
Berapa banyak lagi nyawa yang harus berakhir dengan cara begini? Berapa ramai ahli keluarga yang perlu menangisi pemergiaan insan tersayang dengan insiden yang penuh tragedi ini? Ada yang masih mempunyai tanggungjawab serta tanggungan di rumah yang menanti, sudah pasti khabar tragedi hanya menambah duka di hati insan tersayang. Waktu itu nasi sudah pun menjadi bubur.
Oleh itu, sudah cukuplah kita menormalisasikan konsert-konsert yang bersifat duniawi dan melalaikan ini. Usah kita semua termakan dengan tipu daya duniawi yang kononnya boleh mengisi rasa kekosongan di jiwa- jiwa, tetapi hakikatnya semakin bergelora rasa kehausan rahmat Tuhan.
Cukuplah penganjuran konsert sebegini diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa, bukan sahaja menjelang tahun bajaru malah hari-hari kebiasaannya juga perlu dilarang ianya diadakan. Tidak pasti apakah motif dan tujuan kebenaran menjalankan konsert diluluskan atau ada piawaian tertentu yang ingin dicapai. Namun apa yang jelas, konsert tersebut bukan sekadar dicemari dadah, namun turut merosakkan alam sekitar serta berlaku pembaziran.
Sebagai penutup, WAFIQ menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap penganjur agar satu kayu ukur yang baik dapat dimanifestasikan kepada negara kelak. Pihak kerajaan juga perlu mengkaji dan memastikan kelompongan dalam perundangan dipenuhi bagi mengelak insiden-insiden berkibtlatkan hedonisme seperti ini berulang kembali. Selain itu, pihak PUSPAL perlu mewujudkan satu sistem permohonan untuk mengadakan konsert yang lebih tegas dan efisyen di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat oleh pihak berkuasa. Diharapkan insiden sebegini tidak akan berulang kembali di masa hadapan.
Siti Nur Zulaikha Abd Kadir
Exco Undang-Undang & Hak Asasi WAFIQ