MELAKA – Polis Melaka sedang ‘memburu’ tayar lori tercabut yang didakwa menjadi punca nahas ngeri 7 maut manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah bas persiaran di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, 23 Disember lalu.
Ia selepas bukti utama milik sebuah lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan hilang selepas nahas yang berlaku, kira-kira 8.40 malam.
Nahas turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, treler muatan pakaian terpakai dan kereta Perodua Bezza.
https://malaysiagazette.com/2024/12/24/tayar-lori-tercabut-punca-nahas-7-maut-di-melaka/
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis kini sedang berusaha mencari lokasi simpanan tayar sebelah kanan pemandu lori berkenaan.
“Semasa kejadian memang pihak polis dan PLUS tiada maklumat berkaitan punca kejadian kerana masing-masing sibuk menjalankan misi menyelamat mangsa terlibat.
“Bagaimanapun setelah tular rakaman dashcam (papan pemuka) dan kenyataan pemandu lori terbabit mendakwa tayar lorinya tercabut dan tergolek di lorong tengah sebelum bas persiaran itu melanggarnya, barulah kita tahu puncanya.
“Namun setelah selesai kerja-kerja membersih sisa kemalangan, tayar berkenaan tidak dijumpai di lokasi yang mana mungkin juga telah diambil pemandu terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman semalam yang agensi itu sudah memuktamadkan laporan siasatan isu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.
Namun jelasnya, siasatan hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tertanggal itu tidak dapat diperiksa kerana PUSPAKOM tidak menjumpai atau menerimanya.
Sementara itu dalam kenyataan dikeluarkan, Ashari berkata, susulan kehilangan tayar berkenaan, pegawai polis termasuk penyiasat kes telah pergi ke Pejabat PLUS Tangkak untuk berjumpa dengan Pegawai Operasi Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL).
“Keterangan Pegawai Operasi Propel menyatakan tidak menemui tayar lori di lokasi kejadian dan memaklumkan sisa sampah nahas di lokasi kemalangan telah dibawa oleh sebuah lori roro (pengangkut sampah).
“Kita telah mengambil keterangan pemandu lori roro yang membawa sampah-sampah ke tempat pelupusan di Segamat juga telah diambil dan usaha mengesan tayar berkenaan dibuat hari ini di Tangkak dan Segamat,”jelasnya lagi. – MalaysiaGazette