KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga India berpura-pura pengsan manakala terdapat warga asing lain yang mencetuskan provokasi bagi mengelakkan ditahan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam satu operasi, semalam.
Malah ada yang “terlebih kreatif” apabila berpura-pura sedang membeli barang bagi mengaburi mata penguatkuasa yang menjalankan Op Kutip sebuah pusat beli-belah di Ampang.
MalaysiaGazette yang mengikuti operasi itu turut mendapati, ada dalam kalangan warga asing yang berani melakukan panggilan video serta merakam perjalanan operasi.
Bagaimanapun, perbuatan itu disedari pegawai penguatkuasa yang kemudiannya merampas telefon bimbit warga Bangladesh tersebut sebelum menahan mereka kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, Pegawai Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 141 orang telah diperiksa dengan 53 daripadanya pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan.
“Hasil pemeriksaan tangkapan terdiri daripada 14 warga Indonesia, Afghanistan (11), Bangladesh (6), Myanmar (3), Nepal (3), Pakistan (3), Australia (3), India (3), dan Filipina (2).
“Turut ditahan satu tangkapan masing-masing dari Sweden, Nigeria, Morocco, Sierra Lion, Somalia, Germen serta Norway dan kesemuanya berusia lingkungan 14 hingga 65 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu katanya, kesemua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. – MalaysiaGazette