Datuk Seri Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini.

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan keadilan untuk Najib namun ianya dilaksanakan secara perlembagaan dan tidak akan tersasar daripada proses undang-undang.

Menurut Mohamed Khaled, kesetiaan UMNO terhadap Najib adalah berdasarkan jasa besar beliau kepada bangsa dan negara sepanjang kepimpinannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

“UMNO tidak meminggirkan mereka yang telah setia dengannya, apatah lagi seorang bekas Presiden. Walaupun ada kekurangan dan kelemahan, lautan jasa Najib kepada tanah air dan bangsa tidak dapat dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun pada masa sama, Mohamed Khaled melahirkan kekesalan terhadap pihak tertentu yang menggunakan isu pengampunan Najib sebagai modal politik untuk meraih populariti.

Malah beliau menyifatkan tindak tanduk seumpama itu sebenarnya sangat ‘memualkan’.

“Ada pihak yang kini bersolidariti secara bermusim terhadap Najib, walhal mereka dahulu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya. Proses pengampunan ini tidak sepatutnya dijadikan taruhan politik. Ia sangat tidak bermoral.

“UMNO menghormati kebijaksanaan institusi diraja dalam isu ini dan akan terus bertindak mengikut lunas perlembagaan. Ada pihak yang berhasrat meneruskan himpunan pada 6 Januari, walaupun sudah dinasihati pihak berkuasa untuk tidak berbuat demikian.

“Tindakan ini mencerminkan politik tanpa moral. Mereka yang sanggup mengeksploitasi agama, kaum, dan perpaduan nasional demi keuntungan politik membuktikan bahawa moral, undang-undang, dan keamanan bukan menjadi keutamaan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO akan terus konsisten dalam memperjuangkan keadilan untuk Najib dengan cara yang berlandaskan undang-undang dan perlembagaan, tanpa menggadaikan keharmonian negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here