KUALA LUMPUR – UMNO-UMNO Negeri akur dengan arahan daripada ibu pejabat parti untuk tidak meneruskan himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dirancang Isnin depan.
Dalam kenyataan yangn dikeluarkan secara berasingan, UMNO-UMNO Negeri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif pengampunan banduan menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
UMNO-UMNO Negeri turut mematuhi seruan Polis Diraja Malaysia agar tidak mengadakan perhimpunan yang berisiko mengganggu kesejahteraan rakyat.
Kenyataan dikeluarkan oleh UMNO Pahang, Melaka, Perak, Kedah, Sabah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan rakyat Negeri Pahang, saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini tidak sedikit pun mengurangkan rasa kasih kami kepada Datuk Seri Najib. Kami akan terus berusaha dan berdoa agar keadilan akhirnya menjelma buat beliau,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Sebagai parti yang konsisten dalam memperjuangkan serta mempertahankan Raja- Raja Melayu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka akur dengan saranan Titah Seri Paduka Baginda untuk menghormati kuasa prerogatif Agong dan menggunakan saluran perundangan yang betul, termasuk mengemukakan rayuan bagi Datuk Seri Najib yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“UMNO Negeri Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes Datuk Seri Najib, supaya pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat sebaik-baik keadilan,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Sebarang usaha memberi keadilan sepenuhnya kepada Dato Seri Najib Tun Abd Razak melalui saluran yang yang dibolehkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga sistem perundangan negara disokong penuh oleh UMNO Kedah,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Dalam hal ini, UMNO Sabah turut menaruh harapan tinggi terhadap kebijaksanaan serta keihsanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan keadilan penuh diberikan kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak,” kata Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Sangat tinggi harapan kami agar segala ujian yang membelenggu pemimpin kami iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti keramat ini mendapat belas dan ihsan serta pengampunan daripada Tuanku Agong. Atas harapan yang tinggi ini, kami percaya segala isu berbangkit dapat diselesaikan menerusi proses perlembagaan,” kata Setiausaha
Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Shah Headan Ayoob Hussain Shah.
“UMNO Kelantan akan tetap bersama dan sentiasa menyokong kepada usaha – usaha untuk memberi keadilan sepenuhnya kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak melalui saluran yang telah ditetapkan Perlembagaan Negara dan sentiasa percaya kepada sistem perundangan yang masih utuh dan telus,” kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Akbar Salim.
“Berhubung Titah Adendum yang didakwa wujud dalam kes Dato’ Seri Najib ini, UMNO Terengganu kekal berpendirian bahawa segenap saluran undang- undang yang ada perlu di aplikasi bagi membolehkan perintah tahanan di rumah terhadap beliau dapat di laksanakan sewajarnya,” kata Badan Perhubungan Umno Terengganu.
UMNO-UMNO Negeri turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli UMNO yang telah menunjukkan komitmen padu dan semangat setlakawan terhadap Najib.-MalaysiaGazette