KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin filem animasi terbaharu terbitan syarikat produksi Les’ Copaque bertajuk ‘Dongeng Sang Kancil’ mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sambil merakamkan ucapan syabas, Anwar turut memuji filem animasi watak popular cerita rakyat itu yang disifatkan beliau sebagai sebuah karya membanggakan negara.
“Pastinya, filem ini menghidupkan semula elemen nostalgia kanak-kanak yang teruja melihat kebijaksanaan Sang Kancil dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul selain menyatukan haiwan-haiwan lain di dunia rimba mereka.
“Syabas di atas filem animasi yang membanggakan negara ini, dan saya percaya, produk seni tempatan akan mampu terus bersaing di peringkat antarabangsa, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sambil berkongsi beberapa keping gambar, Anwar berkata beliau menonton filem itu bersama keluarga serta pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan San Peng, SK (Perempuan) Jalan Batu di sini dan anak yatim dari SK Semenyih, Selangor.
‘Dongeng Sang Kancil’ merupakan filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik hibrid 3D serta kesan khas 2D yang mula ditayangkan di seluruh negara pada 26 Dis lepas dan berjaya mencatat kutipan RM1.5 juta pada hari pertama tayangan.
Filem berdurasi 90 minit itu mengisahkan pengembaraan seekor kancil yang ingin membela kematian ibunya yang dibunuh dengan kejam oleh ‘bayang hitam’. – BERNAMA