Antara sarang burung Walet yang belum diproses di Asiawalit Resources Sdn Bhd, Puchong, Selangor.Foto MalaysiaGazette

SARANG burung walit (SBW), yang dihasilkan daripada air liur burung spesies Aerodramus fuciphagus, telah lama dikenali sebagai produk eksklusif dengan pelbagai manfaat kesihatan. Antara kelebihannya termasuk melambatkan proses penuaan dan meningkatkan sistem imun manusia. Malaysia merupakan negara pengeluar SBW ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Thailand.

Nilai eksport SBW di Malaysia pernah mencapai sehingga RM3 bilion. SBW mentah yang belum dibersihkan bernilai sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sekilogram, manakala yang telah dibersihkan boleh mencecah sehingga RM12,000 sekilogram. Menurut laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, sebanyak 92.15% eksport SBW terdiri daripada produk yang telah diproses menjadi makanan atau minuman.

Produk SBW diiktiraf halal oleh JAKIM, namun persoalan yang sering timbul adalah tentang kesahihan fatwa yang menyatakan SBW ini halal untuk dimakan. Dalam konteks ini, terdapat dua fatwa utama di Malaysia yang menyebut burung walit, namun secara umum dirujuk sebagai burung layang-layang. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2007 telah memutuskan hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus.

Keputusan serupa juga dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada tahun 2005, yang mengqiaskan sarang burung layang-layang dengan madu lebah, menjadikannya halal untuk dimakan. Namun, kekeliruan timbul apabila burung layang-layang dan burung walit adalah dua spesies yang berbeza, walaupun berada dalam kategori kumpulan yang sama, iaitu Aerodramus species. Burung walit berasal daripada keluarga Apodidae, manakala burung layang-layang tergolong dalam keluarga Hirundinidae.

Sarang burung walit dihasilkan sepenuhnya daripada air liur burung, manakala sarang burung layang-layang diperbuat daripada lumpur dan ranting kayu, yang secara jelas tidak boleh dimakan. Oleh itu, fatwa berkaitan SBW perlu dipinda untuk memastikan ia benar-benar merujuk kepada burung walit dan bukan burung layang-layang. Hukum burung walit berbeza dengan pengharaman burung layang-layang. Ini kerana burung walit bukanlah burung layang-layang yang dikenali sebagai burung al-Khuttaf.

Burung al-Khuttaf telah dilarang untuk dimakan seperti dinyatakan dalam hadis Nabi SAW:
وَقَدْ رَوَى أَبُو الْحُوَيْرِثِ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مُعَاوِيَةَ، وَهُوَ مِنَ التَّابِعِينَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنَّهُ نَهَى عَنْ قَتْلِ
الْخَطَاطِيفِ، وَقَالَ “لَا تَقْتُلُوا هَذِهِ الْعَوْذَاءَ إِنَّهَا تَعُوذُ بِكُمْ مِنْ غَيْرِكُمْ»
Maksudnya, “Abu al-Huwayrith ‘Abd al-Rahman bin Mu‘awiyah seorang Tabiin meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda melarang daripada membunuh al-
Khatatif. Baginda berkata, jangan kamu bunuh ‘anak dara’ ini kerana ia meminta perlindungan untuk kamu daripada kejahatan orang lain terhadap kamu” (Hadis. al-Bayhaqiyy. Kitab Sembelihan: Bab Sesuatu Yang Haram Dari Segi Apa Yang Orang Arab Tidak Makan. No. 19380).

Haiwan yang Rasulullah SAW larang untuk dibunuh, kerana jika ia halal untuk dimakan, Rasulullah pasti tidak akan melarangnya. Antara contoh haiwan yang dilarang untuk dibunuh adalah semut, lebah, burung hud-hud dan juga burung al-Khuttaf. Al-Khattabi (1932) berpandangan larangan bunuh itu adalah disebabkan oleh haiwan itu sendiri atau kerana daging haiwan tersebut.

Secara saintifik, komponen utama SBW terdiri daripada glikoprotein yang mengandungi 59.8 ke 66.9% protein dan 25.6 ke 31.4% karbohidrat. Struktur kompleks glikoprotein ini berfungsi sebagai prebiotik semula jadi yang membantu meningkatkan kesihatan usus. Proses pembersihan SBW yang diambil dari gua atau rumah burung menghasilkan sisa seperti serpihan kecil sarang dan bulu burung, yang sering dianggap tidak bernilai. Namun, kajian saintifik menunjukkan bahawa sisa ini masih mengandungi glikoprotein yang berpotensi untuk diekstrak semula.

Teknologi moden, seperti hidrolisis enzimatik, kini digunakan untuk memproses sisa SBW. Kaedah ini melibatkan penukaran glikoprotein kepada glikopeptida, yang lebih larut dalam air, memudahkan proses perolehan semula bahan ini daripada sisa SBW. Satu kajian oleh sekumpulan saintis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan pemprosesan ini membolehkan perolehan semula SBW daripada sisa SBW dengan kuantiti yang masih boleh meningkatkan nilai komersial produk SBW ini.

Namun, terdapat kebimbangan tentang status halal glikopeptida yang diperoleh daripada sisa SBW, terutamanya kerana ia mengandungi bulu burung. Menurut prinsip fiqh, bulu burung daripada haiwan yang halal dimakan dianggap suci, sama ada dipisahkan semasa burung masih hidup atau selepas disembelih mengikut hukum Syariah. Oleh itu, jika bulu burung walit tidak mendatangkan mudarat dan menjadi sebahagian daripada produk akhir, ia boleh dianggap halal.

Dengan perkembangan teknologi dan pengetahuan tentang SBW, penting untuk fatwa berkaitan diperbaharui. Ini bukan sahaja untuk memastikan kesahihan hukum tetapi juga bagi mengelakkan kekeliruan dan keraguan dalam kalangan masyarakat. Sebagai negara pengeluar utama SBW, Malaysia bertanggungjawab memastikan bahawa produk ini terus diterima di pasaran global tanpa kompromi terhadap prinsip halal yang menjadi asas keyakinan umat Islam.

Oleh:
Prof. Madya Dr. Nazariyah Yahaya, Pensyarah, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia,
Prof. Dr. Irwan Mohd Subri, Profesor, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan
Dr. Nur Al-Farhain Kamaruzaman, Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here