Keadaan tulang yang patah.

Oleh: Prof. Dr. Norazlina Mohamed|

OSTEOPOROSIS adalah gangguan tulang yang dicirikan oleh pengurangan kepadatan jisim tulang, yang meningkatkan risiko patah tulang, terutamanya pada tulang pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan. Osteoporosis lebih kerap berlaku pada wanita selepas menopaus, yang disebabkan oleh penurunan tahap estrogen, iaitu hormon yang berperanan penting dalam pengaturan pembentukan semula tulang. Kekurangan estrogen ini menyebabkan tulang menjadi lebih
rapuh dan mudah patah. Jika tidak dirawat, osteoporosis boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius seperti patah tulang, penurunan kualiti hidup, dan peningkatan risiko kematian.

Menyedari kepentingan untuk meneroka rawatan alternatif bagi menangani masalah ini, kajian yang diketuai oleh Prof. Dr. Norazlina Mohamed dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menunjukkan Marantodes pumilum atau lebih dikenali sebagai kacip fatimah, berpotensi untuk melawan osteoporosis dan membantu pemulihan tulang. Herba ini mengandungi fitoestrogen, iaitu sebatian yang berfungsi menyerupai estrogen dalam tubuh, yang dipercayai dapat membantu melindungi tulang daripada kerosakan akibat kekurangan hormon tersebut.

Menurut Prof. Dr. Norazlina, kajian yang dijalankan melibatkan eksperimen menggunakan model tikus yang dibuang ovari (kekurangan estrogen) dan model tikus patah tulang. “Kami telah menguji kesan ekstrak daun dan akar kacip fatimah pada tikus yang kekurangan estrogen serta tikus yang patah tulang. Hasil kajian menunjukkan ekstrak daun kacip fatimah pada dos 20 mg/kg memberikan perlindungan tulang yang lebih baik berbanding dengan ekstrak akar,” kata beliau.

Ekstrak daun kacip fatimah juga terbukti mempercepatkan penyembuhan patah tulang dengan meningkatkan ekspresi gen yang berkaitan dengan penyembuhan tulang. Kesan ini adalah setara dengan terapi hormon estrogen yang biasa digunakan untuk merawat osteoporosis. Selain itu, ekstrak daun kacip fatimah juga dapat meningkatkan kekuatan tulang dan mengurangkan kerosakan tulang yang biasa berlaku akibat kekurangan estrogen.

Dr. Norazlina berkata, penemuan ini memberikan harapan baru dalam rawatan osteoporosis dan masalah tulang patah dengan penggunaan terapi herba semula jadi sebagai rawatan alternatif atau rawatan tambahan, terutamanya bagi wanita selepas menopaus yang mengalami penurunan estrogen.

“Kajian ini juga menyokong penggunaan herba tradisional sebagai salah satu pilihan rawatan selain daripada terapi konvensional sedia ada,” katanya.

Di samping itu, kajian ini turut memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai mekanisme tindakan kacip fatimah dalam meningkatkan kesihatan tulang.
Walaubagaimanapun, Prof. Dr. Norazlina menegaskan bahawa, kajian lanjut dalam bentuk ujian klinikal ke atas manusia perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanannya dalam rawatan osteoporosis dan pemulihan patah tulang walaupun kajian ini memberikan keputusan yang sangat positif.

Dengan penemuan ini, kacip fatimah berpotensi untuk dimajukan sebagai rawatan alternatif dalam terapi osteoporosis dan pemulihan patah tulang. Namun, kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan dos yang sesuai serta cara pengambilan yang terbaik bagi mencapai kesan terapeutik yang optimum untuk manfaat kesihatan tulang manusia.

Penulis dari Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan,  Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here