KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan hantaran beliau tentang ‘ayam jantan, ayam betina dan biawak’ di laman sosial Facebooknya baru-baru ini yang mencetuskan kontroversi tidak menyentuh mengenai Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kesal apabila terdapat cubaan oleh pihak-pihak tertentu mengaitkan Seri Paduka Baginda dalam isu tersebut.
Dalam masa sama, ujar beliau, secara jelas tidak ada mana-mana bahagian di dalam titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang melarang himpunan diadakan esok.
“Nasib baiklah Pemuda UMNO mengisytihar bahawa mereka akan hadir dan ini membuktikan mereka juga memahami kehadiran di himpunan itu bukanlah bererti derhaka kepada Agong.
Persoalannya, kenapakah pemahaman Pemuda UMNO berbeza dengan pemahaman Presiden dan Setiauasah Agung UMNO?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, hantaran berbentuk kiasan yang dikongsi Ahmad Fadhli di laman sosial Facebook beliau menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelbagai pihak yang mempersoalkan maksud sebenar serta tujuan hantaran tersebut.
“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” demikian kias Ahmad Fahdli menerusi catatan itu tanpa memberi sebarang penjelasan.
Ekoran itu juga, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda menggesa semua sayap parti itu di seluruh negara membuat laporan terhadap Ahmad Fadhli selepas menyifatkan hantarannya itu menghina institusi diraja.
Sementara itu, berhubung gesaan laporan polis oleh Pemuda Amanah terhadap beliau, Ahmad Fadhli berkata, beliau bersiap sedia untuk disiasat sebagaimana proses keadilan di Malaysia.
Dalam masa sama, ujarnya, beliau juga akan mempertimbangkan tindakan seterusnya berdasarkan perkembangan yang akan berlaku termasuk saranan beberapa peguam supaya menyaman Pemuda Amanah yang seolah-olah mendakwanya menghina institusi diraja.
“Laporan polis ini juga membuktikan Pemuda AMANAH masih lagi ada, dan setidak-tidaknya ada aktiviti yang boleh dilaporkan di dalam buku mesyuarat tahunan. Lagipun, jika tidak pertahankan DAP, apa lagi yang boleh mereka lakukan?” katanya. – MalaysiaGazette