KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan Selangor atas pelbagai kesalahan pada Jumaat lalu.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, penahanan pertama melibatkan VNT kelas A di kedudukan 27.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor pada pukul 3.05 petang.
“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut telah melanggar Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen sah.
“Selain itu mereka turut melanggar Akta Imigresen 1959/63 apabila dua awak-awak warga Myanmar berusia 34 dan 42 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penahanan kedua pula melibatkan VNT kelas B1 di kedudukan 7 batu nautika barat daya muara Tanjung Karang pada pukul 9.05 malam hari yang sama.
Abdul Muhaimin berkata, vesel itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia 23 hingga 29 tahun juga tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut menunjukkan vesel tersebut beroperasi kurang daripada lapan batu nautika dari daratan secara tidak langsung melanggar syarat lesen,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, termasuk kesalahan menggajikan kru asing tanpa kebenaran.
“Semua vesel, kru, hasil tangkapan, dan peralatan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menghadapi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-317 60627 atau kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette