Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC nekad meneruskan himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, himpunan itu akan diadakan di Batu Caves dan bukannya di Istana Kehakiman Putrajaya.

“MIC terus pegang kepada prinsip kami untuk mengadakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib tapi menukar tempat berhimpun. Ini bagi menunjukkan sokongan kami terhadap Najib tetap kekal sama.

“Kita tidak pernah batalkan, cumanya tukar tempat sahaja kerana kita tidak mahu menyusahkan ahli-ahli parti yang datang daripada Kedah sehingga Johor, kita tidak mahu susahkan mereka dengan sekatan jalan raya.

“Kadang-kadang doa akan lebih laju (diterima) daripada mereka yang berjawatan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Tambah Saravanan, himpunan akan bermula jam 11 pagi untuk mengetahui sama ada wujud Titah Adendum terhadap Najib.

“Tujuannya satu untuk mengetahui samada wujud Titah Adendum tersebut atau tidak? Sebab kita lihat sebelum PRU15, kami macam musuh, tema kempen pun ‘Hoi, Hoo Ya Hoi’, Siapa Perompok?.

“Selepas PRU15, kita tubuhkan kerajaan perpaduan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong dan kita mahu tahu sama ada Agong keluarkan Adendum atau tidak?,” soal Saravanan.

Keputusan itu dilihat berbeza dengan UMNO yang membatalkan niatnya untuk mengadakan himpunan di Putrajaya esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, parti itu dengan penuh kerendahan diri akur atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar menghormati kuasa prerogatif baginda untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib.

Jelas Saravanan, rakyat berhak untuk mendapatkan jawapan daripada kerajaan mengenai kewujudan Titah Adendum terhadap bekas Pengerusi BN itu wujud atau sekadar khabar angin sahaja.

“Rakyat nak tahu sebab pergi mahkamah pun dihalang, boleh atau tidak rakyat Malaysia dimaklumkan sama ada Titah Adendum ini wujud atau tidak?

“Satu sahaja persoalan rakyat, kalau ada, beritahu, kalau ada ambil tindakan mengikut peraturan sebab sorokan Titah Agong, lagi besar dosanya,” katanya .

Ditanya mengapa MIC nekad untuk meneruskan himpunan itu walaupun UMNO menarik balik keputusan berkenaan, Saravanan berkata, keputusan dibuat telah dibuat MIC dan kini terpulang kepada UMNO untuk tidak meneruskan himpunan berkenaan.

“Kita kurang pasti dengan alasan UMNO tapi terpulang kepada mereka, ini bukan keputusan BN tapi keputusan parti (MIC), UMNO berhak buat keputusan dan parti lain tidak boleh masuk campur.

“Bagi MIC, kita cukup jelas dengan Titah terbaharu Agong mengenai proses permohonan harus melalui Lembaga Pengampunan, 600,000 ahli MIC faham Titah Agong,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed memberitahu, himpunan solidariti Najib tidak mendapat kebenaran polis walaupun telah membuat permohonan pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, seramai 456 pegawai dan anggota polis akan tetap ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here