MELAKA – Polis Melaka sudah menjumpai tayar lori tercabut yang didakwa menjadi punca mengorbankan 7 nyawa manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, 23 Disember lalu.
Bagaimanapun, hanya rim bersaiz 22.5 inci seberat kira-kira 100 kilogram (kg) ditemukan tanpa tayar lori jenis Foton yang dipercayai sudah musnah dalam nahas melibatkan lima kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, komponen rim besi milik lori Jenis Foton bernombor plat Johor itu dikenal pasti Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah di Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Solok,Tangkak, Johor, petang semalam.
“Ia dijumpai selepas kita mendapatkan maklumat daripada Pegawai Operasi Pegawai Operasi Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) di Pejabat PLUS Tangkak.
“Pihak sub kontraktor PROPEL kemudian telah menyerahkan rim tayar lori itu kepada pihak polis dan satu report rampasan telah dibuat sebelum rim dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman dash cam atau maklumat tentang keberadaan tayar lori untuk tampil menyerahkannya kepada pihak polis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, bahan bukti itu amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat kepastian dan titik noktah berhubung tragedi menyayat hati itu.
Menurutnya, tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian. – MalaysiaGazette