KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan bakal merekrut bekas pemain Boca Juniors, Oscar Romero dengan tawaran kontrak bernilai RM11 juta, laporan media Argentina.
Laporan itu mendakwa, JDT bersetuju menawarkan kontrak bernilai lapan angka kepada Oscar di mana bintang kelahiran Paraguay itu telah memberi persetujuan.
“Oscar Romero menerima tawaran jutaan dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Kontrak selama setahun bernilai 2,500,000 USD (RM11 juta),” lapor German Garcia Grova di laman X.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai pengambilan pemain baharu oleh JDT mahu pun pihak Romero sendiri.
Untuk rekod, Romero ketika ini bergelar ejen bebas sejak 1 Januari yang lalu dengan aksi terakhirnya bersama Botafogo di Brazil. – Agensi