KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) kini menyasarkan bekas penyerang prolifik Belanda, Patrick Kluivert sebagai sasaran utama calon ketua jurulatih baharu.
Portal tempatan melaporkan, Presiden PSSI, Erick Thohir mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti calon senarai pendek dengan Kluivert menjadi salah seorang jurulatih yang menjalani sesi temu duga baru-baru ini.
“PSSI mencari seorang jurulatih yang mampu meningkatkan kualiti daripada aspek komunikasi, kepimpinan dan persefahaman pasukan. Pengenalan rasmi akan dibuat pada 12 Januari nanti,” kata Erick dipetik menerusi portal Jakarta Globe.
Untuk rekod, Kluivert pernah membimbing skuad simpanan FC Twente (Jong Twente) dan Adana Demirspor.
Pemilihan Kluivert dilihat tepat memandangkan majoriti pemain Indonesia adalah berdarah kacukan dari Belanda.
Sementara itu, wartawan sukan terkemuka berpangkalan di Eropah, Fabrizio Romano turut mengesahkan Kluivert sudah bersetuju dengan tawaran kontrak dua tahun dengan tambahan lagi dua tahun untuk bersama skuad Sang Garuda.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, pihak PSSI telah membuat keputusan untuk memecat pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong atas sebab yang tidak didedahkan.
Sebagai rekod, Tae-yong yang pernah membimbing skuad antarabangsa Korea Selatan dilantik menjadi pengendali Indonesia bermula Januari 2020.
Antara pencapaian cemerlang Tae-yong adalah memacu Indonesia layak ke pentas Piala Asia 2023 selain bersaing dalam kempen kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026 ketika ini. – MalaysiaGazette