KUALA LUMPUR – Himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini memberi kebimbangan kepada pemimpin-pemimpin daripada barisan blok kerajaan.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, kerajaan sedang tersepit, antara tuntutan undang-undang atau kehendak rakan muafakat politik mereka.

“Setakat ini, nampaknya himpunan ini menyebabkan wujud perbezaan pandangan yang amat ketara sesama pemimpin blok kerajaan.

“Perpecahan dalam kalangan mereka semakin ketara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, rakyat menuntut supaya kuasa Yang Di-Pertuan Agong dihormati, undang-undang dipatuhi, Perlembagaan Persekutuan dijunjung dan keadilan ditegakkan.

“Jika benar Titah Adendum wujud, mengapa ia tidak dilaksanakan? Siapa sebenarnya yang derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini?

Penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada perkarangan Istana Kehakiman bagi Himpunan Solidariti Najib Razak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JANUARI 2025

“Pemimpin yang derhaka kepada Tuanku tidak layak untuk terus memimpin negara,” katanya.

Afnan Hamimi berkata, rakyat dari segenap pelusuk tanah air tetap hadir walaupun ada usaha pihak tertentu untuk menghalang himpunan ini berlaku.

“Putrajaya penuh dengan orang ramai sejak hari Ahad. Ada yang datang dengan kereta, ada yang sewa van dan bas. Dari Borneo, mereka naik kapal terbang.

“Anggaran kehadiran sekitar 8,000 hingga 10,000 orang,” katanya.

Jelasnya, lagi, dalam himpunan itu juga memperlihatkan kehadiran daripada kalangan ahli dan pemimpin UMNO biarpun terdapat larangan rasmi daripada pemimpin parti itu.

“Ini bermakna aura Najib masih kuat sehingga mereka tidak hiraukan arahan parti mereka sendiri.

“Mereka lebih simpati kepada Najib dan menuntut supaya keadilan ditegakkan,” katanya.

Afnan ketika sama-sama hadir pda himpunan solidariti hari ini di Putrajaya. -Foto Facebook Afnan Hamimi

Selain itu, Afnan juga berkata, ahli PAS, UMNO, BERSATU serta ahli parti-parti politik lain dilihat dapat duduk bersama di dalam himpunan tanpa ada kacau ganggu dan provokasi.

“Tiada kekacauan. Suasana aman, tenteram dan harmoni.

“Ini menunjukkan parti-parti politik teras Melayu Islam dapat duduk bersama dan bersepakat dalam isu Titah Adendum Najib ini.

“Kesepakatan di dalam isu ini boleh membuka satu lembaran politik baru kepada negara. Inilah yang sangat dibimbangi pihak lawan khasnya DAP,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan memulakan prosiding bagi mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan daripada peguam, Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here