PUTRAJAYA – Jabatan Penjara Malaysia tidak pernah menerima sebarang titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya surat yang diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya berkaitan dua perkara iaitu pengurangan tempoh pemenjaraan dan juga pengurangan kadar denda terhadap Najib, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menjelaskan, surat yang bertarikh 2 Februari 2024 kepada Jabatan Penjara adalah untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan yang hanya menyebut berkaitan dua perkara berkenaan sahaja.
“Tidak ada pun yang menyebut tentang tahanan rumah.
“Oleh kerana surat diterima KDN khususnya penjara hanya sebut dua perkara, bagaimana boleh kami laksana perintah tiada dalam keputusan perintah..tiada terima adendum,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian sebagai respon terhadap hujah peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Terdahulu, Muhammad Shafee ketika membacakan titah itu semasa berhujah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mendedahkan titah adendum dan melaksanakannya.
Peguam kanan itu dalam hujahannya berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen titah bertarikh 29 Januari 2024 itu pada 2 Disember tahun lalu melalui surat daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah.
Muhamad Shafee berkata, pada 4 Januari lalu, Mohamad Nizar memberitahu beliau diperintah menghadap Sultan Pahang yang memaklumkan kewujudan salinan titah adendum dalam simpanan baginda.
Titah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah ditujukan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Menurut peguam itu, titah adendum yang ditandatangani sendiri oleh Al-Sultan Abdullah wujud namun disembunyikan daripada umum dan mendedahkan ia disahkan sendiri oleh Mohamad Nizar.
Jelas Muhammad Shafee, Mohamad Nizar sendiri menerima dokumen itu namun ia tidak ditandatangani kerana ia adalah rekod peribadi baginda.
Beliau kemudian merujuk sepucuk surat bertarikh 4 Januari lalu yang dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang memperakukan kewujudan dan kesahihan titah adendum berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar enam surat termasuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengesahkan kewujudan titah berkenaan namun ia tidak dijawab.
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Nizar serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tersebut.
Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette
Dah sah2 Sultan utus surat kepada Peguam Negara…seorang menteri pun tak tahu? Maknanya Peguam Negara sorok kaaaa? Memandangkan peguam negara skrg dah jd Hakim Mahkamah Persekutuan, wajarlah ditubuhkan Tribunal utk menyiasat Hakim Mahkamah Persekutuan ex Peguam Negara ni…then baru kita tau sape yg sorok..dan betulkah menteri tak tau? Masa kita tanya Menteri hari tu, Menteri tak tanya Peguam Negara kaaa??