Suasana seawal pagi anggota polis bersiap sedia susulan pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah adendum di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025

PUTRAJAYA – Pekarangan Istana Kehakiman di kawal ketat polis seawal jam lima pagi lagi hari ini susulan himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, kawalan ketat lalu lintas serta pemantauan ini sudah mula dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Pengutakuasaan Trafik (JSPT) sejak tengah malam tadi lagi.

Pagi ini, setiap kenderaan yang keluar masuk sekitar kawasan Istana Kehakiman serta perkarangan mahkamah diperiksa dengan teliti, hanya yang sudah mendaftar awal akan dibenarkan masuk.

Para pengamal media sudah tiba sejak awal pagi untuk membuat liputan pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah adendum di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 6 JANUARI 2024.

Setakat jam 7 pagi ini, keadaan mahkamah masih sepi, cuma kelibat warga mahkamah mula masuk.

Manakala kelihatan anggota polis dalam jumlah yang ramai berada di setiap pelosok mahkamah.

Kebanyakan petugas media tempatan dan agensi antarabangsa sudah mula berkampung di sini awal pagi bagi melaporkan keputusan mahkamah berkaitan permohonan Najib tentang kewujudan titah adendum untuk beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Suasana luar perkarangan Istana Kehakiman yang dikawal ketat oleh polis.Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025

Walaupun polis sudah mengeluarkan arahan perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran kerana tidak mematuhi syarat termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 namun ia tidak menghalang segelintir individu untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada Najib pagi ini.

Sebilangan kecil penyokong juga kelihatan berjaya ‘menyelinap’ masuk ke kawasan sekitar Istana Kehakiman dengan beberapa daripadanya membawa sepanduk, ada juga yang sempat menunaikan solat subuh di Masjid Besi di sini.

Najib dijangka tiba sekitar jam 8.15 pagi ini.

Setakat artikel ini ditulis, keadaan di Putrajaya masih terkawal.

Pagi ini, tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan dijadual mendengar rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam yang lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.

Titah ini dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here