Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri ll, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing semasa merasmikan Pelancaran VM2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Foto AIZAT ZAINAL, 6 JANUARI 2025.

SEPANG – Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menetapkan sasaran seramai 35.6 juta pelancong ke negara ini yang mampu dicapai dengan pembabitan semua pihak, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, VM2026 merupakan inisiatif kerajaan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama turut menyasar dapat menjana perbelanjaan domestik RM147.1 bilion sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata, kempen itu akan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi yang unik dan harmoni serta mempamerkan warisan pelbagai budayanya yang kaya di negara ini.

“Kempen VM2026 bukan sahaja akan menumpukan pada mempromosikan pelancongan tetapi juga akan menekankan kemampanan dan pulangan hasil tinggi daripada sektor itu.

“Ini sejajar dengan objektif Malaysia yang lebih luas untuk mengembangkan industri pelancongan sambil memastikan daya maju jangka panjang dan tanggungjawab alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen VM2026 dengan pengenalan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas di sini hari ini.

Turut hadir hadir, dua timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melihat potensi besar untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan tanpa meminggirkan mana-mana negeri bagi merangsang memacu ekonomi masing-masing.

“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan tentunya pelaburan serta ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal.

“Jadi, impak VM2026, seperti yang saya nyatakan akan melangkaui industri pelancongan, merangkumi sektor hospitaliti, pengangkutan, peruncitan, industri makanan dan manfaat ekonomi akan dinikmati oleh komuniti bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman.

“Penekanan diberikan untuk memastikan setiap negeri dan setiap komuniti turut terbabit dalam usaha ini,” katanya.

Sementara itu, selain lagu tema baharu berjudul Malaysia Truly Asia, Kempen VM2026 turut memperkenalkan beruang matahari Malaya sebagai ikon rasmi kempen sebagai simbol spesies terancam dan simbol komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Haiwan itu diwakili oleh dua maskot, Wira dan Manja yang mewakili keterangkuman dan kepelbagaian.

Sementara itu, Tourism Malaysia berkata, VM2026 bertujuan untuk meningkatkan hasil pelancongan, mengukuhkan daya saing pelancongan global Malaysia dan meletakkan sektor itu sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Dengan potensi Malaysia yang kukuh sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, VM2026 bersedia bukan sahaja untuk meningkatkan pelancongan tetapi juga mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan imej global negara, memupuk pertumbuhan dalam sektor di luar pelancongan,” kata agensi itu.

Pelancaran itu juga menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama dengan rakan kongsi strategik utama termasuk Malaysia Aviation Group, AirAsia, Batik Air, Malaysia Airports Holdings Bhd, Huawei, Mastercard, Shangri-La Kuala Lumpur, Shangri-La Hotels & Resorts, dan Marriott International. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here