KUALA LUMPUR – Kontroversi berkenaan isu titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pengajaran besar kepada semua pihak khususnya Lembaga Pengampunan, mahkamah serta para peguam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bukan semata-mata isu melibakan Najib, tetapi lebih besar bagaimana jika ia berlaku kepada sesiapa sahaja pada masa hadapan.
Menurut beliau, umum menyedari isu yang berlegar ketika ini adalah berkenaan keputusan Lembaga Pengampunan yang disembunyikan daripada pengetahuan umum dan tidak dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan.
“Walaupun Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada ketika itu mempunyai kuasa mutlak terhadap sebarang keputusan pengampunan, namun keputusan yang telah dititahkan oleh baginda tidak memberi sebarang makna jika titah tersebut tidak diambil tindakan sebagaimana yang telah diputuskan.
“Malah lebih parah lagi titah tersebut disembunyikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Tuan Ibrahim, persoalan juga berlegar ketika ini berkenaan sama ada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang baru ditabal tidak terikat untuk melaksanakan apa yang telah diputuskan pada penggal sebelumnya.
“Apakah tindakan yang boleh diambil jika sesuatu keputusan yang telah dibuat sebelumnya namun ianya tidak dilaksanakan dan dibiarkan begitu saja?” soalnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, isu titah adendum tersebut harus ditangani dengan sebaiknya dan berhemah supaya tidak menjadi satu kes duluan (precedent case) bagi kes seumpamanya pada masa akan datang.
Mahkamah Rayuan pagi ini bersidang bagi mendengar rayuan Najib agar beliau dibenar mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. – MalaysiaGazette