KLUANG – Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera termasuk bayi perempuan tujuh bulan selepas terlibat kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Kilometer 86, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, mangsa yang maut, Widiani Afendi, 39, bersama-sama enam keluarganya dalam perjalanan pulang balik selepas selesai menghadiri majlis pertunangan adiknya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori lima tan itu dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam ke Ayer Hitam manakala MPV Toyota Estima datang dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya berlanggar dengan MPV berkenaan.
“Akibat kejadian itu Widiani yang merupakan penumpang belakang MPV, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu MPV dan enam lagi penumpang termasuk tiga daripadanya kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun mengalami kecederaan dengan sebahagian daripadanya parah.
Semua mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan dan proses bedah siasat.
Tambahnya, pemandu lori, Ng Kuang Hui, berusia 53 tahun yang luka di bahagian kepala dan cedera dalaman di dada sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.- MalaysiaGazette