Noraidi Maya, Setiausaha Kehormat Gerakan Bangkit Sabahan

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerakan Bangkit Sabahan mahu menyaman penganjur himpunan Gempur Rasuah Sabah, Suara Mahasiswa UMS termasuk aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza sebanyak RM5 juta dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat Gerakan Bangkit Sabahan, Noraidi Maya berkata, ia susulan ucapan berbaur fitnah dan jelik ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman sepanjang himpunan itu berlangsung.

“Sekretariat Sabahan Bangkit melalui beberapa kumpulan NGO juga telah mengarahkan sekumpulan peguam untuk meneliti dan mengumpul maklumat.

“Ia bagi tujuan tindakan saman sivil bernilai RM5 juta ke atas kumpulan dan peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah itu.

“Maklumat individu terlibat sedang dikenal pasti untuk memudahkan penghantaran Notis Tuntutan (LOD) dan tindakan saman membabitkan Fahmi Reza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Sekretariat Gempur Rasuah Sabah mensasarkan kehadiran hingga 10,000 peserta dari seluruh negara bagi menyuarakan bantahan terhadap krisis rasuah yang didakwa mencemarkan maruah Sabah.

Kemudian polis menolak penganjuran perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah’ di hadapan Menara Kinabalu pada 31 Disember lalu bagi menjaga ketenteraman awam di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ini kerana pada tarikh sama Kerajaan Negeri Sabah menganjurkan program Karnival Ria dan ia mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Menurut Noraidi, gerakan itu juga akan memfailkan saman melalui mahkamah anak negeri di seluruh Sabah.

“Kita berharap tindakan ini dapat menyedarkan pelajar dan peserta demo bahawa tindakan mereka dengan cara memfitnah adalah salah dan berniat jahat,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penganjur yang merupakan mahasiswa akan dibantu peguam daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Sekretariat berharap agar rakyat Sabah membuka mata serta dapat menilai agenda sebenar kumpulan ini,” katanya.

Susulan kegagalan himpunan Gegar Rasuah Sabah, Zulkarnain menggesa penganjur dan jawatankuasa dalam Suara Mahasiswa UMS meletakkan jawatan.

“Walaupun dibantu parti politik pembangkang di Sabah termasuk beberapa NGO dari Semenanjung Malaysia, namun kehadiran 10,000 peserta pada perhimpunan tersebut gagal dicapai.

“Sebaliknya kehadiran seramai 80 orang adalah petunjuk jelas pelajar UMS (Universiti Malaysia Sabah) termasuk orang awam telah menolak perhimpunan ini secara total,” katanya.

Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan

Sebaliknya kata Noraidi, himpunan Bangkit Sabahan pada hari yang sama pula mencatatkan kehadiran kira-kira 1,500 peserta.

“Ini menunjukkan rakyat Sabah khususnya mahasiswa memilih untuk terus menyokong kepimpinan Hajiji dan mahu mengekalkan kerajaan sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here