KOTA KINABALU – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakhiri tahun 2024 yang penuh gemilang melalui penyertaan dalam Program Global Convergence Capstone Design di Universiti Hannam, Korea Selatan.
Bertemakan Carbon Neutrality, program tersebut memfokuskan kecemerlangan akademik, penglibatan industri, dan pertukaran budaya.
Delegasi UMS yang diketuai Ketua Program Mobiliti Antarabangsa, Datu Razali Datu Eranza turut disertai oleh Timbalan Pendaftar Kanan FPEP, Awina Kamis; Ketua
Program Perniagaan Antarabangsa, Dr. Nur Aleysa Chew Tze Cheng; dan staf FPEP, Arnah Sanuddin disambut oleh Pengarah Projek LINC 3.0, Prof. Gu-Hwan Won.
Lebih 25 peserta dari UMS dan Universiti Hannam menyertai program tersebut yang menyaksikan pengisian pelbagai siri ceramah berkaitan neutraliti karbon dan trend perniagaan global.
Antaranya ceramah “Future-Proofing Workplaces: Carbon Neutrality and Global HR Trends” yang disampaikan Datu Razali; ceramah “Eksport dan Import” oleh Prof. Chen Hong; dan ceramah “Neutraliti Karbon dalam Perniagaan Antarabangsa” oleh Dr. Nur Aleysa.
Turut diadakan lawatan industri ke perusahaan kecil dan sederhana yang inovatif seperti PumpCare yang menjalankan operasi berkaitan tenaga mampan, Water Genesis, dan Organisasi Kereta Api Bawah Tanah Daejeon City, sekali gus memberikan para peserta delegasi satu wawasan tentang amalan mampan dan teknologi terkini.
Selain itu, peserta turut mengikuti bengkel seni budaya Korea, pembuatan makanan tradisional, dan acara “Malam Kebudayaan Sabah-Daejeon” yang mampu
mengeratkan lagi hubungan kedua-dua institusi.
Program tersebut diakhiri dengan kuliah khas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JeuDérm, Tatyana Jeon dan Profesor dari Woosong University, Profesor Dr. Gilbert M. Tumibay.
Dalam perkembangan lain, FPEP sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Mobiliti Paling Aktif untuk tahun kelapan berturut-turut, manakala Profesor Peter Lee menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pendidikan Korea Selatan atas sumbangan beliau terhadap kerjasama akademik antarabangsa. – MalaysiaGazette