Kenderaan Denis Volvo hitam yang dipercayai membawa Aviton Shalom tiba di Mahkamah ketika perbicaraan hari pertama warga Israel, Aviton Shalom atas tuduhan 200 peluru dan pemilikan senjata api di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Norina Zainal Abidin mempersoalkan  mengapa lelaki warga Israel, Avitan Shalom memohon khidmat jurubahasa Ibani (Hebrew) pada saat-saat akhir bicara walaupun tertuduh mempunyai lebih sembilan bulan untuk berbuat demikian.

Semalam prosiding mahkamah telah ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa untuk menterjemah keterangan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun pada prosiding hari ini, mahkamah masih belum berjaya mendapatkan khidmat jurubahasa berkenaan dan hakim mahu bicara diteruskan dalam bahasa Inggeris.

Soal Norina, jika tertuduh boleh faham bahasa Inggeris mengapa tidak teruskan bicara dalam bahasa tersebut sehingga khidmat jurubahasa tersebut diperoleh.

“Kes ini sudah dijadualkan selama tiga minggu, tapi anda (tertuduh) memaklumkan kepada mahkamah semalam ketika bicara pertama pada saat-saat akhir, tidak ada permohonan sejak sembilan bulan sejak kes pendakwaan ini.

“Anda mempunyai peguam mewakili anda sejak sebutan kes tetapi permohonan untuk jurubahasa Hebrew ini tidak pula dibangkitkan. Ketika itu anda tidak pula kata tidak faham ketika kes itu dibacakan. Adakah anda faham apa yang saya cakap ini,” katanya ketika prosiding yang dikawal ketat polis pagi ini.

Namun dakwa Aviton, beliau telah memohon kepada peguam terdahulunya bagi khidmat  jurubahasa itu kerana dirinya tidak faham bahasa lain selain Hebrew.

Hakim kemudian bertanya lagi, apakah bahasa lain yang difahami tertuduh.

“Selain Hebrew, adakah anda faham bahasa Arab? Perancis? Bahasa Perancis mudah juga anda tidak faham? Saya sedang berkomunikasi dengan anda dalam bahasa Inggeris mudah, anda boleh faham bukan?

“Daripada pengamatan, anda boleh berbahasa Inggeris dengan saya dalam mahkamah selain bercakap dengan peguam anda,” soalnya.

Tertuduh menggeleng kepala dan berkata bahasa hebrew sahaja boleh difahami olehnya.

Mahkamah ditangguhkan ketika ini.

Semalam peguam mewakili Aviton, Datuk Naran Singh berkata, pihaknya membantah perbicaraan disambung tanpa jurubahasa Hebrew.

Pada 27 Mac 2024, Aviton itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdahulu, Kompleks Mahkamah di sini dikawal ketat oleh pengawal keselamatan susulan kes berkenaan.

Hampir 200 anggota polis turut ditugaskan untuk mengawal laluan masuk utama bagi memastikan keadaan terkawal serta mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here