KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan dan Perniagaan di London Examination Board sejak setahun lalu,
Menurut Vida atau nama sebenar, Hasmiza Othman, sejak memulakan pengajian itu, dia banyak belajar perkara baharu terutama dalam dunia pemasaran yang turut membantu mengembangkan perniagaannya.
“Saya rasa lebih segar dan muda. Saya ambil jurusan pengurusan dan perniagaan untuk master setahun dan selepas ini saya akan sambung ke PhD.
“Saya sambung belajar untuk menambah ilmu kerana ilmu ini perlu sentiasa diperbaharui,” katanya yang kini berusia 54 tahun di media sosial miliknya.
“Saya gembira kerana dapat bertemu Cik B selepas lama tidak berjumpa. Belajar di London juga dekat dengan Barcelona, jadi rindu terubat,” ujarnya.
Pada Oktober lalu, Cik B mengumumkan melanjutkan pengajian diploma di Barcelona dalam tiga jurusan berbeza. – MalaysiaGazette