KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura perlu ditangguhkan kerana tiada penyertaan pihak swasta dilihat tidak selari dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini.
Sehubungan itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, timbul persoalan mengenai kesahihan kenyataan Anthony yang mengenai ratusan syarikat yang berminat terhadap projek itu pada tahun lalu.
“Adakah dalam tempoh setahun, semua syarikat ini secara serentak kehilangan minat terhadap HSR? Atau mungkinkah Anthony hanya bercakap kosong untuk menutup kelemahan kerajaan perpaduan?” soal Dominic dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar berkata, projek berkenaan hanya boleh dihidupkan semula dengan penyertaan penuh daripada entiti swasta.
Menurut Anwar, kerajaan menghadapi beberapa kekangan, termasuk isu lain yang belum diselesaikan dan mesti diutamakan demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Dominic berpendapat, kenyataan Anwar secara langsung telah memalukan Anthony malah dakwaan tentang ratusan syarikat yang berminat adalah tidak benar.
“Kementerian Komunikasi yang sering menekankan tentang memerangi berita palsu perlu menyiasat sama ada menteri tersebut telah menyebarkan berita palsu atau tidak.
“Jika benar seperti yang dikatakan oleh Anthony terdapat begitu banyak syarikat yang berminat terhadap projek ini, syarikat-syarikat tersebut sepatutnya segera diperkenalkan kepada Perdana Menteri.
“Jangan sampai PMX yang baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi ASEAN kehilangan wibawa di hadapan rakan sejawatannya dari negara jiran,” katanya lagi.
Beliau memetik kenyataan Anthony pada 24 Januari tahun lalu yang dengan penuh yakin menyatakan pengunduran syarikat Jepun daripada proses Request for Information (RFI) HSR tidak akan menjejaskan projek tersebut, kerana masih terdapat ratusan syarikat yang berminat terhadap projek ini.
Dominic Lau dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini berkata, Perdana Menteri telah menjelaskan Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji beberapa cadangan dan masih menunggu penyertaan syarikat swasta yang menunjukkan bahawa tiada syarikat yang bersedia untuk menyertai buat masa ini.
“Inilah sebabnya mengapa saya selalu menyatakan bahawa kepimpinan negara seperti kerajaan ‘Rashomon’ yang tidak konsisten.
“HSR adalah satu lagi projek kerajaan perpaduan yang berakhir dengan kekecewaan.
“Jika kerajaan perpaduan masih mempunyai maruah, katakan sahaja secara terus-terang, sama ada boleh melaksanakan atau tidak, dan jangan terus mempermainkan rakyat dengan data palsu dan permainan kata-kata.” tegas beliau. – MalaysiaGazette