KUALA LUMPUR – MCA mendesak pemimpin DAP khususnya Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong menyatakan pendirian berhubung pengesahan kewujudan titah adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, pemimpin DAP juga perlu tampil menjawab sama ada bersedia memohon maaf kepada rakyat berhubung titah adendum itu yang disorok selama kira-kira setahun lalu.
Menurut beliau, Kah Leong serta ramai pemimpin DAP sebelum ini didakwa memesongkan perkara pokok berhubung titah adendum dengan mengkritik MCA kerana bersolidariti bersama Najib bagi menuntut keadilan.
“Propaganda yang dimainkan oleh mereka ialah MCA membela individu yang didapati bersalah sedangkan MCA konsisten dengan pendirian parti yang sentiasa mendokong Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Tian Soon, Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan Najib memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, membuktikan kewujudan titah adendum tersebut.
“Perkembangan ini pastinya menimbulkan seribu tanda tanya dalam kalangan rakyat, adakah kerajaan hari ini menipu dan tergamak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak menjunjung atau melaksanakan titah adendum tersebut?” soalnya.
Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, Isnin lalu, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza. – MalaysiaGazette