Projek Sistem Pemantauan Banjir IoT diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Mazran Esro (2 dari kanan) bersama penyelidik UTeM.

KUALA LUMPUR- Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menjalankan projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir Internet of Things di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM menerusi Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan sekumpulan penyelidik telah menjayakan projek rintis ini yang memberi impak besar kepada negeri Melaka.

Jelasnya, dengan kejayaan pemasangan Sistem Pemantaun Banjir IoT ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen UTeM mencurahkan kepakaran yang dimiliki untuk manfaat dan kesejahteraan penduduk negeri ini.

Katanya, sistem pemantauan ini memberikan amaran awal banjir yang akan memberi notifikasi kepada penduduk dan agensi penguatkuasaan melalui aplikasi mudah alih serta media sosial pada masa nyata.

“Secara asasnya projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama UTeM yang mana projek ini diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) dengan kerjasama agensi tempatan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Projek ini adalah sebahagian daripada pelan strategik negeri Melaka untuk menangani impak banjir kilat yang sering berlaku akibat perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu.

“Sistem ini dirancang pembangunannya sebagai mekanisme kawalan untuk mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan memudahkan usaha menyelamat di kawasan yang terjejas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir IoT ini diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK), Mazran Esro bersama 5 orang penyelidik lain iaitu Profesor Madya Eur Ing Dr. Siva Kumar Subramaniam, Ir Ts Dr Siti Aisyah Anas, Dr Ahamed Fayeez Tuani Ibrahim, Vigneswara Rao Gannapathy dan Ts Dr Yogan Jaya Kumar.

Mengupas tentang ciri-ciri sistem ini, Mazran berkata, sistem ini memantau kenaikan paras air sungai, kejadian hujan, jumlah air hujan, suhu dan kelembapan di lokasi yang dipantau.

“Sekiranya hujan dalam jumlah yang banyak dan paras air naik dengan cepat, sistem akan memaparkan kategori sama ada kategori hijau (paras normal), kuning (paras waspada), jingga (paras amaran) dan merah (paras bahaya).

“Penduduk setempat boleh mendapat manfaat dari sistem ini dengan akses mudah melalui kod QR selepas ini setelah selesai peringkat pengujian akhir yang dalam proses pemantauan kami bagi memastikan kestabilan dan keberkesanan sebelum dibuka kepada orang awam,” ujarnya.

Berkongsi tentang proses pembangunan sistem ini katanya, kami telah melakukan proses penyelidikan dan pembangunan sistem ini melalui beberapa siri geran dan teknologi yang mana dana diterima dari UTeM dan produk ini berkembang selaras dengan perubahan teknologi terkini.

“Untuk produk Sistem Pemantau Banjir IoT ini, peruntukan yang diberikan oleh UPEN adalah untuk proses fabrikasi, pemasangan dan pengujian sistem dalam tempoh masa hanya 1 bulan iaitu dari 15 November hingga 14 Disember lalu sejurus mendapat peruntukan dari UPEN.

“Pada masa yang sama kami turut berdepan dengan cabaran bilamana teknologi semakin berkembang maka sistem yang dibangunkan perlu ditingkatkan seiringan dengan teknologi terbaru.

“Ini adalah kerana komponen perkakasan teknologi lama yang diperlukan dalam sistem tidak lagi wujud dalam pasaran justeru penyelidik perlu sentiasa menambah baik sistem dengan perkakasan dan perisian terkini.

“Namun pada kami ini semua adalah lumrah dan cabaran biasa buat kumpulan penyelidikan kerana pada kami tugasan dan amanah ini mesti disempurnakan dengan jayanya demi kemaslahatan komuniti sejagat,” katanya.

Projek perintis ini kini berada dalam tempoh pemantauan keberkesanan sistem sebelum dicadang sebarang penambahan di lokasi lain yang berisiko banjir sekitar negeri Melaka.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here