Johari mendengar penerangan ketika melawat kilang pembuatan FOZ One di Senai Airport City, Kulai, hari ini.

KULAI – Sebanyak 87 peratus individu berusia 16 hingga 60 tahun menerusi tinjauan awam menyokong pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 diteruskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, itu hasil Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) yang melakukan tinjauan awam itu melibatkan seramai 3,092 responden.

“Responden yang majoritinya terdiri daripada golongan ibu bapa itu mahu anak-anak mereka mempunyai hala tuju yang jelas dalam hidup mereka.

“Kerajaan mengharapkan agar PLKN 3.0 yang akan dilaksanakan pada bulan ini dapat membina jati diri sekali gus memupuk sifat kepimpinan golongan muda di negara ini.

“Kita mahukan the missing link dalam pendidikan kita iaitu bagaimana anak-anak didedahkan dengan ilmu untuk menjadi seorang pemimpin.

‘’Macam mana (cara) hendak jadi pemimpin, mereka tidak tahu.

“Jadi kita harap dengan PLKN ini, mereka secara fizikal boleh memahami dan belajar di kem sendiri bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran kilang pembuatan FOZ One, di Senai Airport City, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif FOZ One, Datuk Lee Fook Yuen.

Bulan lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.

JKPK dalam satu kenyataan berkata, sekiranya kerajaan masih berhasrat melaksanakannya maka JKPK berpendapat satu kajian lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Johari berkata, PLKN 3.0 yang menerapkan 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus kenegaraan.

Pada masa sama, katanya, ia akan meningkatkan kemahiran dan kemampuan diri termasuk daripada segi percakapan, berfikir dan sebagainya.

Katanya, ia sekali gus akan membuka peluang kepada pelatih terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburkan diri dalam bidang seperti TVET.

“Kerajaan sudah buat keputusan mulai tahun ini semua anak muda yang berumur 17 tahun secara perundangan akan dihantar ke kem latihan termasuk kem tentera yg diurus kerajaan selama 45 hari.

“Kita juga ada jawatankuasa yang akan memantau perjalanan PLKN 3.0 bagi memastikan tiada kes buli berlaku dan melaporkan kepada kerajaan dari masa ke sesama,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here