KUALA LUMPUR – Fourkay Gold Sdn. Bhd, syarikat pembelian emas gadaian dan emas terpakai patuh syariah berjaya memperoleh Sijil Pematuhan Syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Sanusi Mohd Isa berkata, sijil yang diperoleh itu bukan sahaja memperbaharui komitmen Fourkay Gold terhadap kewangan Islam yang telus tetapi juga memberikan perlindungan lebih kukuh kepada pelanggan daripada risiko transaksi tidak sah atau penipuan.
Menurut beliau, pihaknya komited dan setiasa berusaha untuk menjadi peneraju dalam membina sebuah industri pembelian emas gadaian yang lebih telus, selamat dan patuh syariah di negara ini.
“Justeru, Fourkay Gold berusaha untuk memastikan setiap transaksi yang dilakukan adalah sah di sisi agama dan mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Penyerahan Sijil Pematuhan Syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory yang diketuai oleh tokoh kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman itu setelah melalui proses semakan, penambahbaikan terhadap proses dan kontrak dilaksanakan.
Fourkay Gold yang dimiliki 100 peratus Bumiputera ditubuhkan pada 2023 dan sebelum ini menumpukan bisnes di kawasan Lembah Klang dan merancang berkembang ke seluruh negara dengan sasaran mencapai 20,000 hingga 25,000 pelanggan tahun ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sanusi Sanusi menjelaskan, matlamat syarikat adalah untuk menjadikan transaksi emas gadaian lebih selamat dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Ramai yang masih terdedah kepada penipuan dan risiko keselamatan dalam urusan penjualan emas gadaian dan kami di Fourkay Gold berusaha memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang selamat dan telus.
“Dalam konteks ekonomi semasa, syarikat juga melihat emas bukan hanya sebagai aset berharga, tetapi sebagai peluang untuk individu menjana keuntungan melalui proses yang sah dan patuh syariah,” katanya.
Sementara itu, Zaharuddin, berkata, keewujudan syarikat yang menawarkan perkhidmatan patuh syariah boleh menyelamatkan umat Islam daripada transaksi yang tidak sah dan merosakkan ibadah mereka.
“Seiring dengan perkembangan pesat industri ini, Fourkay Gold berusaha keras untuk terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat.
“Keyakinan pelanggan adalah asas kejayaan mereka, dan mereka berusaha untuk membina hubungan yang telus dan jujur dalam setiap urus niaga,” katanya. – MalaysiaGazette