SURAT daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum terhadap Najib tular di laman sosial hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada umum.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, minit mesyuarat adalah satu perkara sulit dan hak kuasa itu hanya ada pada Lembaga Pengampunan.

“Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Jadi, kita tak boleh buat perkara itu open (umum secara terbuka). Itu hanya hak Lembaga Pengampunan,” katanya ringkas kepada media selepas Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan Madani, di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim.

Dr Zaliha berkata demikian bagi menjawab cadangan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mengesyorkan agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan titah adendum.

Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR dalam kenyataannya berkata, pendedahan itu bertujuan memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurutnya, tindakan itu juga merupakan langkah bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.

Keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan itu menimbulkan polemik politik kerana banyak pihak mendakwa kerajaan menyembunyikan kewujudan titah adendum tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO tuntut keadilan untok Najib . dah jatuh hukum yang adil dan beberapa peringkat rayuan telah selesai . bukan kah itu satu keadilan bagi orang yang bersalah . kalau dia dibebaskan maka mana keadilan nya . aku heran otak UMNO telah terbalik hitungan . . sepatut nya parti ini diharam kan saja supaya tidak merosakkan negara .

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here